Thursday, 5 May 2011

Wanita bila iddah kematian suami....

Sumber dari blog Dr.Hasanah-TQ Dr.....

Saye sendiri pernah dan sudah melalui fasa iddah kematian suami makanya xsalah saye nak share di sini ...


Saye sangat faham situasi ini. Bila kita berada dalam kedudukan yang sangat sukar, kenalah didik jiwa supaya menyedari bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi. Saye melalui iddah kematian suami dalam keadaan seorang diri. Ada 2 orang anak perempuan yang semuanya masih kecil. Ada yang masih minta dikendong dan pada masa itu  ibubapa saye dan ibubapa mertua saye pula jauh di Perak, Saya rasa keadaan saya sangat sukar tapi, saye kena ingat selalu bahawa ada orang lain yang lebih sukar lagi keadaannya. Bila kita sabar, maka Allah akan permudahkan kehidupan. Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t yang telah ‘menghadiahkan’ untukku ujian ini. Terlalu banyak yang dipelajari daripada ujian ini.


Kembali kepada topik entry kali ini.


Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.
Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:


1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu


PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG
Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”.


KEDUA: BERKAHWIN
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya)”. Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.


KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN
Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.
Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja. [Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].
Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.
Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh iaitu digunakan pada faraj.
Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.
Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dll tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.


KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN
Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.
Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.
Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” [Surah al-Talaq: ayat 1].
Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.
Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda s.a.w. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.


KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha.
Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik.”
Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah].
Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing.”
Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.
Untuk pencerahan lanjut, lihat Bada’i al-Sana’i, al-Syarh al-Saghir, Nihayat al-Muhtaj fi Fiqh al-Syafii dan Kashshaf al-Qina’.
===================
Baiklah, sekarang dengan fikiran terbuka, cuba perhalusi hukum-hakam yang telah saye nyatakan yang dipetik daripada wahyu Allah serta fikrah para fuqaha yang tiada tolong tandingnya berbanding kita. Apakah agaknya hikmah di sebalik undang-undang ini?


Hmm… saye telah melalui fasa ini dan saye telah merasai hikmah peraturan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. ini…


Sekarang terserah kepada anda sama ada anda sedang dalam iddah, mempunyai ibu yang dalam iddah, jiran atau adik-beradik yang dalam iddah atau sebagainya…. Semua pihak perlu saling faham-memahami situasi wanita dalam iddah dan saling ingat-mengingatkan jika ada orang yang anda kenal telah tersilap langkah semasa berada dalam iddah. Bantulah mereka melalui tempoh peralihan yang sangat perit ini.
Semoga semuanya berada dalam rahmat Ilahi. Kasih sayang Allah s.w.t. sentiasa mendahului kemurkaannya, maka janganlah kita memilih kemurkaannya sedangkan azab Allah itu sangat pedih manakala syurga yang indah dengan ni’mat melimpah ruah menanti wanita mu’minah yang sabar meniti kehidupan tanpa seorang suami!




No comments:

Post a Comment